Kandungan DidikTV KPM

RTM (1972–1999, 2020–kini)

TV Pendidikan bersiaran di TV1 dan TV2 selama 27 tahun, dari 1972 hingga 1999. Pada Mac 1994, siaran pagi bermula di TV1 dan TV Pendidikan bersiaran sepenuhnya di TV2. TV Pendidikan disiarkan dalam dua sesi iaitu jam 7:20 pagi hingga 1:00 petang, dan jam 2:00 hingga 5:00 petang.

Pada tahun 1995, siaran TV Pendidikan berakhir pada jam 4:00 petang dan dua tahun kemudian, pada jam 3:00 petang. Pada Januari 2000, TV2 bersiaran awal pada hari Isnin hingga Khamis.

Pada 6 April 2020, OKEY menyiarkan rancangan TV Pendidikan melalui slot Kelas@Rumah yang disiarkan setiap hari pada jam 9:00 hingga 10:00 pagi, dan jam 1:00 hingga 2:00 petang.

Astro (2000–2006, 2020–kini)

Apabila TV Pendidikan bermula di Astro pada 3 Januari 2000,[10] Saluran 28 menyiarkan dua saluran: TV Pendidikan disiarkan dari Isnin hingga Khamis pada jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang, manakala Animal Planet menyiarkan keseluruhan masanya. Pada tahun 2002, Animal Planet dijadikan saluran sepenuh masa di saluran 51, yang kemudiannya berpindah ke saluran 556 pada 1 Oktober 2007.

TV Pendidikan berpindah ke Saluran 13 pada tahun 2002, yang mana mereka menyiarkan dua saluran, iaitu TV Pendidikan dan TechTV, sebuah saluran yang menyiarkan berita dan rancangan tentang komputer, teknologi dan internet. TV Pendidikan bersiaran Isnin hingga Khamis dari 9:00 pagi hingga 5:00 petang pada waktu sekolah sahaja, manakala TechTV menyiarkan keseluruhan masanya. Sejak TechTV tamat, Astro menyiarkan episod lama TechTV secara berulang sehingga Astro telah mencapai persefahaman dengan G4techTV untuk membeli siri televisyennya seperti Attack of the Show dan X-Play, dan kemudian menyiarkan semula secara lokal, tanpa sebarang logo saluran dan hanya menyiarkan promosi rancangan Astro ketika di antara rancangan.

Sejak 1 Mac 2006, semua rancangan G4 telah disiarkan di Astro TVIQ, saluran pendidikan Astro di Saluran 13. Kini, Astro tidak lagi menyiarkan rancangan-rancangan G4. Saluran 13 telah diberhentikan pada 1 Februari 2007.

Pada 4 Mei 2020, TV Pendidikan telah kembali ke Astro melalui Astro Tutor TV UPSR dan Astro Tutor TV SPM.

Media Prima (2007–2008, 2020–kini)

Ketika bersiaran di TV9 pada 3 Januari 2007 hingga 31 Disember 2008, TV Pendidikan bersiaran dari 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari setiap Isnin hingga Khamis termasuk cuti sekolah. Kemudiannya, TV Pendidikan meletakkan sebuah logo kekal di kiri atas skrin, dan disiarkan terus dengan logo TV9 di kanan atas hanya semasa rancangan 4 jamnya, kecuali semasa rehat pendek antara rancangannya. Rancangan disiarkan dengan cara berbeza iaitu minggu pertama merupakan siaran pertama, dan minggu kedua ialah siaran ulangan.[11]

TV Pendidikan telah ditamatkan pada 31 Disember 2008 dan digantikan dengan laman sesawang EduWebTV.[12]

Slot TV Pendidikan kembali menerusi ntv7. Sebagai permulaan, slot DidikTV@ntv7 bersiaran selama tiga jam pada setiap Isnin hingga Jumaat pada 23 November sehingga 31 Disember 2020, dan waktu siaran adalah antara jam 9:00 pagi dan 12:00 tengah hari.

Pada 27 Januari 2021, KPM menambah slot rancangan TV Pendidikan dalam program DidikTV@ntv7. Slot itu memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon SPM tahun 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari 2021. Slot tambahan ini membabitkan dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari jam 3:00 petang hingga 5:00 petang di saluran ntv7. KPM juga menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari jam 9:00 pagi hingga jam 12:00 tengah hari dan jam 3:00 petang hingga 5:00 petang, khusus bagi pelajar SPM.

Pada 12 Februari 2021, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa ntv7 akan dijenamakan semula sebagai DidikTV KPM pada 17 Februari 2021, jam 7:00 pagi. Pelancaran saluran dijadualkan akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sejam selepas itu, iaitu pada jam 8:00 pagi. Saluran DidikTV KPM akan bersiaran setiap hari pada jam 7:00 pagi hingga 12:00 tengah malam. Ia menjanjikan rancangan pendidikan bermutu dan interaktif mengikut peredaran masa bagi semua lapisan masyarakat, khususnya murid-murid yang menduduki peperiksaan kebangsaan UPSR, PT3, dan SPM. Kandungan didik hibur (edutainment) tempatan dan antarabangsa, berita terkini berkaitan dunia teknologi pendidikan, dan kandungan asli hasil murid-murid juga akan mengisi saluran ini mengikut kesesuaian semasa.[13]

Rujukan

WikiPedia: DidikTV KPM http://star-techcentral.com/tech/story.asp?file=/2... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt... http://www.pnm.gov.my/yangpertama/Kom_Tvdidik.htm https://www.eduwebtv.com/ https://www.themalaysianinsight.com/s/104149 https://www.therakyatpost.com/2020/04/04/tv-learni... https://www.youtube.com/user/eduwebtvmoe https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04...